Wednesday, August 17, 2011

Entri Khas: Nuzul Al-Quran

Assalamualaikum & Salam Ramadhan Al-Mubarak!

Hari ni OMR nak kongsi berkenaan NUZUL AL-QURAN (info diambil daripada Education Malaysia Washington DC)

NUZUL AL-QURAN  
Sejarah al-Quran: Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185) 
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.


Erti Nuzul al-Quran: ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.


Nama-Nama Lain:

Selain disebut al-Quran, ia  juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain. 


Proses Penurunan al-Quran: Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 23 tahun.13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. Kehebatan al-Quran:


1.         Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)


2.         Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.


3.         Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.


4.         Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).

5.         Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw.

6.         Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat.

7.         Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 22) 

8.         Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Tuntutan al-Quran: Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya:

  • Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
  • Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
  • Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.
Peringatan: 
  • Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
  • Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
  • Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
  • Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).

Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua. Amin.     


Dr. Abdul Rahman Abdullah
Atase Pendidikan,
MSD Washington DC.
Ramadan 1430 September 2009  

No comments:

Post a Comment

Terima kasih sebab sudi bagi 'respon'....i like!